Friday, 4 April 2014

" Pendedahan Peristiwa Hitam Memali 1985.Tembelang Mahathir Selama 30 Tahun Akhirinya Dipecahkan Oleh Musa Hitam "


Selepas hampir 30 tahun peristiwa Memali berlaku, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa yang juga menteri keselamatan dalam negeri ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain cedera.


Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu malam kelmarin.

Turut serta bersama beliau sebagai panel adalah naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.

"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.

Dalam diskusi itu juga Musa berkata, "titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang." Musa berkata, itulah juga yang dinyatakan beliau kepada kawan-kawanya dalam politik dan di mana-mana.

Menurut ensiklopedia bebas, Wikipedia, peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara atau Operasi Hapus'.

"Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China," menurut Wikipedia, dan kini baru didedahkan sebaliknya oleh Musa apabila beliau berkata ketika itu Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau mahu ditahan di bawah ISA. Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim Libya dan pengikutnya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 terbunuh.

Musa dipersalahkan dengan peristiwa itu dan Dr Mahathir selaku perdana menteri terlepas kerana dia diberitakan berada di luar negara ketika itu, iaitu China.

Pendedahan Musa hari ini akan memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.

PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Allahyarham dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka. TMI

No comments:

Post a Comment