Tidak kira di mana sahaja, pelbagai gajet terkini seperti tablet, komputer riba dan telefon bimbit dilihat bagai ‘teman’ karib yang sentiasa berada di sisi golongan digelar generasi Y itu.
Justeru, tidak hairanlah penggunaan laman sosial melalui internet amat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini, terutamanya bagi golongan remaja.
Malahan, ketaksuban dalam melayari laman sosial tersebut sehingga segala perbuatan yang dilakukan hari-hari dimuat naik untuk dikongsikan bersama kenalan yang terdapat di sesuatu laman sosial tersebut.
Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Muhammed Yusof berkata, bagaimanapun seiring dengan kemajuan tersebut, umat Islam perlu berhati-hati dalam menggunakan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Ini katanya kerana, dikhuatiri penggunaan laman sosial secara tidak bijaksana boleh mengakibatkan dosa yang berterusan terhadap seseorang individu walaupun ketika melakukan kebaikan.
Tambahnya, ia apabila laman sosial yang sepatutnya dijadikan landasan untuk berhubung serta berkongsi maklumat itu disalah guna sebagai ruang luahan peribadi, keji-mengeji dan dibangga-banggakan.
“Islam tidak menghalang umatnya untuk mengikuti teknologi, malah lebih digalakkan agar tidak ketinggalan dan mendapat manfaat daripadanya. Tetapi asasnya adalah bagaimana kita menggunakannya?
“Ia seumpama pisau yang terletak di tangan penggunanya iaitu sama ada akan memberi manfaat jika digunakan dengan baik dan sebaliknya jika disalahgunakan.
Google Image
“Apa yang kita lihat, realiti yang berlaku, kerakusan segelintir masyarakat, khususnya umat Islam yang sering menyalahgunakan laman sosial ini tanpa disedari boleh membuahkan dosa secara berterusan pada setiap masa dan saat, selama 24 jam," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Memberi contoh tersebut, Muhammed berkata, adalah seperti memuat naik gambar, perkongsian informasi dan juga sebarang pendapat tanpa meneliti terlebih dahulu.
“Bagi gambar-gambar yang mendedahkan aurat memang sudah jelas hukumnya adalah haram dan mendatangkan dosa setiap kali dilihat orang. Apa yang perlu kita beri perhatian, adalah gambar yang ditangkap secara peribadi bersama ahli keluarga.
“Mungkin sekadar suka-suka atau simpanan peribadi, tetapi tanpa kita sedari golongan mahram tadi yang memuatnaikkan di laman sosial miliknya. Walaupun tidak berdosa jika bukan dengan kerelaan, tetapi kita tetap perlu berhati-hati kerana boleh menimbulkan fitnah.
“Begitu juga memuat naik gambar-gambar dengan fesyen terkini keterlaluan, walaupun dikatakan fesyen Muslimah," ujarnya.
Selain itu tambahnya, perkongsian status dan pandangan yang diberikan juga perlu dibatasi kerana dikhuatiri membuka aib diri sendiri atau orang lain.
“Sebagai contoh, apabila memberi komen kepada status kenalan yang meluahkan kesalahan dosa yang dilakukan, elakkan daripada berkongsi dengan mengaitkan kesalahan silam atau perkara sama yang berlaku kepada diri kita.
“Ia seolah-olah membuka aib terhadap diri sendiri atau pun orang yang terlibat. Ini kerana, perkongsian status dan komen yang diberikan di laman sosial dapat melambangkan siapa diri kita kepada umum," jelasnya.
Manakala Muhammed berkata, penyebaran maklumat yang diragui juga perlu dielakkan bagi menghindari sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Menjadi trend pengguna laman sosial, gemar berkongsi mesej-mesej berantai yang diterima. Apa yang dilihat informasi tersebut tidak diteliti kesahihan dan kreadibiliti sumber sebelum dikongsikan.
“Kesannya, fitnah akan tersebar luar, pembohongan akan menjadi-jadi dan tidak mustahil mengakibatkan persengketaan dalam kalangan umat Islam," katanya.
Khalwat siber
Selain menerusi laman sosial di internet, interaksi menerusi telefon bimbit antara pasangan bukan mahram juga bukan menjadi ruang yang membolehkan untuk terus berhubung secara berdua-duaan tanpa batasan.
Menegaskan perkara itu, Muhammed berkata, walaupun hanya di alam maya dan tidak berada berhadapan, namun komunikasi yang keterlaluan menerusi telefon bimbit juga mengakibatkan dosa.
Ini katanya, diistilahkan sebagai khalwat siber yang menjadi fenomena terutamanya bagi pasangan yang sedang bercinta untuk sentiasa berhubung dan berkongsikan segalanya bersama pasangan mereka.
“Apa sahaja jenis laman interaksi pada asasnya mempunyai konsep yang sama. Walaupun jasad yang berjauhan, tetapi jika mesej kandungan yang disampaikan adalah bertentangan dengan syariat maka ia adalah berdosa.
“Sehingga segala perkara termasuk maklumat peribadi didedahkan kepada pasangan secara tanpa batasan. Inilah budaya baharu dalam masyarakat masa kini yang dikenali sebagai khalwat," katanya.
Beliau berkata, khalwat siber didefinisikan sebagai berdua-duaan antara pasangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram dengan membincangkan perkara yang bersifat terlalu peribadi.
Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan adalah, khalwat siber merupakan antara faktor yang boleh merangsang kepada dosa yang lebih serius pada masa akan datang.
“Apabila berdua-duaan, tidak kira walaupun di alam maya, maka syaitan menjadi orang ketiga. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW maksudnya: Sesungguhnya tidaklah seseorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali yang ketiga adalah syaitan. (riwayat Tarmizi)
“Justeru, bermula dengan hanya perkenalan dan perbualan menerusi telefon akan mendorong kepada rangsangan nafsu seterusnya iaitu memuat naik gambar dan kemudian video. Dan akhirnya disusuli dengan pertemuan di alam realiti.
“Inilah yang lebih bahaya, apabila sudah kenal dan tahu sifat peribadi, maka tidak mustahil perbuatan maksiat seperti zina boleh berlaku," katanya.
Bagaimanapun Muhammed berkata, perhubungan di alam siber tidak dihalang mengikut syariat jika mengikut batasan yang ditetapkan.
“Bukan bermaksud langsung tidak boleh, tetapi tidak salah untuk berhubung dengan bertanya khabar, perbincangan yang ada keperluan dan juga perbualan yang tidak sia-sia," katanya.
No comments:
Post a Comment